Panduan Buat Dropship Shopee di Malaysia (2022)

Menjelang 2023, ekonomi Malaysia dijangka akan berkembang pada kadar yang perlahan.

Ramai yang mula mencari alternatif untuk menjana pendapatan sampingan bagi menampung kos perbelanjaan dan sara hidup yang makin meningkat saban hari.

Ada yang ingin menambah simpanan untuk masa kecemasan.

Ada juga yang ingin menyelesaikan hutang jahat.

Kredit Gambar

Apa sahaja sebabnya, tambahan wang beberapa ratus ringgit sebulan amatlah membantu status kewangan bagi setiap individu.

Apatah lagi jika penambahan ini mencecah ribu ringgit.

Tambah pendapatan bulanan melalui bisnes

Antara cara yang menjadi pilihan ramai di Malaysia ialah dengan menjalankan perniagaan.

Namun, untuk memulakan perniagaan sendiri bukanlah sesuatu yang mudah.

Selain faktor modal, faktor lain seperti tenaga kerja, lokasi, dan juga risiko-risiko mungkin boleh menyukarkan keputusan untuk membuka perniagaan.

 Tetapi, peluang perniagaan bukan hanya tertumpu pada kedai fizikal sahaja.

Dalam dunia serba moden ini, perniagaan atas talian terus mendapat sambutan yang tinggi.

 Selain daripada menjual melalui laman web atau platform e-dagang, salah satu cara yang menjadi pilihan ramai adalah dengan bisnes dropship.

 Dalam artikel ini, saya nak kongsikan macam mana nak tambah pendapatan setiap bulanan melalui dropshipping.

Saya rasa, dropshipping ini sesuai untuk semua, sama ada golongan suri rumah, pelajar, golongan B40 mahupun pekerja profesional di Malaysia.

 Apa itu bisnes dropship?

Secara ringkas, bisnes dropshipping ini ialah satu model perniagaan di mana kita akan menjadi orang tengah antara pembekal (supplier) dan pembeli.

Dengan dropshipping, anda tidak perlu keluarkan modal yang tinggi, anda tidak perlu pegang stok barang, dan tidak perlu menguruskan penghantaran.

Semuanya dilakukan oleh pembekal (supplier).

Dalam sesetengah kes, tak perlu modal langsung!

Jadi, anda kena pandai cari supplier tau.

Kredit Gambar

Tugas anda hanyalah untuk mempromosikan barang yang dijual kepada orang ramai.

Sekiranya ada yang berminat nak membeli barang yang anda jual, anda kena hubungi pihak pembekal (supplier) untuk lakukan penghantaran produk kepada pelanggan anda.

Mudah, kan?

Apa itu dropship shopee?

Konsep dropship Shopee adalah sama dengan dropship lain.

Cuma, aktiviti bisnes seperti mencari pembekal (supplier), produk jualan yang sesuai, mencari pelanggan, urusan penghantaran dan kiraan untung, semuanya transaksi berlaku dalam platform Shopee.

Kredit Gambar

Dropship Shopee menjadi pilihan ramai rakyat di Malaysia kerana platform Shopee yang selamat, boleh dipercayai dan pengunjung platform yang sangat ramai.

Nak guna telefon pintar pun boleh buat dropship Shopee!

Anda dah sedia nak jadi dropship Shopee?

Apa kelebihan dropship Shopee?

Anda mesti tertanya-tanya kenapa ramai yang memilih untuk buat bisnes dropship di Shopee. Ini adalah beberapa kelebihan platform Shopee:

1# Selamat dari sebarang penipuan

Kalau anda nak tahu, ramai penipu tidak sukakan platform Shopee.

Ini kerana pembeli di Shopee kena buat bayaran terlebih dahulu.

Wang tersebut akan dipegang atau disimpan oleh pihak Shopee sementara penjual membuat penghantaran barang kepada pembeli.

Kredit Gambar

Selepas pembeli menerima barang, barulah anda akan menerima wang jualan tersebut.

Kadang-kadang pembeli tidak mengesahkan penerimaan barang yang dihantar.

Jangan risau!

Sistem Shopee akan mengesan rekod penghantaran dari kurier seperti Poslaju atau JnT, dan wang jualan akan ‘dilepaskan’ kepada pembeli selepas barang selamat sampai.

Win-win situation!

2# Bebas untuk memilih produk yang ingin dijual

Dengan banyak pilihan produk di Shopee, anda bebas memilih produk yang anda rasa selesa dan senang untuk dijual.

Tak perlu pening kepala nak fikirkan stok yang belum habis atau yang akan rosak.

Kredit Gambar

Kalau produk yang anda jual kurang mendapat sambutan, anda boleh tukar produk lain yang sedang viral atau yang lebih ramai pembeli.

3# Tak perlu nak layan pelanggan sampai lewat malam

Peniaga mesti sudah lali dengan situasi ini: kena balas mesej dan WhatsApp dari pembeli, ada yang sampai tengah malam atau awal pagi.

Dengan Shopee, sistemnya berjalan secara automatik. Pembeli masih boleh buat pembelian ketika anda sedang tidur!

Cumanya, anda kena pastikan butiran produk yang anda jual adalah lengkap, supaya pembeli boleh terus buat pilihan dengan mudah.

Kredit Gambar

Gambar (dan juga video) produk yang bersesuaian juga turut memainkan peranan penting bagi pembeli membuat keputusan.

Dengan butiran lengkap serta gambar dan video produk, pembeli akan terus melakukan pembayaran di Shopee.

Sebenarnya, amat jarang bagi pembeli untuk hantar mesej kepada penjual, kecuali kalau mereka betul-betul tak faham dengan butiran produk atau mereka ada soalan mengenai penghantaran, waranti, atau stok barang.

4# Platform Shopee yang mudah

Dengan Shopee, anda tak perlu nak pening kepala untuk buat laman web atau platform e-dagang sendiri.

Sistem Shopee ini sangat mesra pengguna sebenarnya.

Kredit Gambar

Buat masa sekarang, Shopee membenarkan penjual untuk memasukkan sehingga 5000 produk ke dalam platform mereka.

Pendaftaran juga percuma!

Anda hanya perlu daftar akaun, dan klik Start Selling.

Selepas itu, anda boleh letakkan maklumat kedai Shopee anda seperti nama kedai, logo dan deskripsi kedai.

Kemudian, tambah produk yang ingin dijual, tetapkan penghantaran, dan anda sudah boleh mula menjual!

Setiap langkah untuk mula menjual di Shopee ini amatlah mudah untuk diikuti.

5# Cara pembayaran yang mudah

Pembeli boleh membuat bayaran secara tunai melalui kaedah Cash on Delivery (COD) atau melalui kedai runcit seperti 7Eleven dan KK Mart.

Selain itu, platform Shopee turut menyokong pembayaran melalui online banking dari bank-bank dalam negara seperti Maybank, CIMB, Public Bank dan lain-lain.

Kredit Gambar

Pembeli juga ada pilihan untuk menggunakan ShopeePay dan SPayLater. Dengan pelbagai kaedah pembayaran yang memudahkan, pembeli akan terus kekal berbelanja di Shopee.

Cara mendaftar dan mula berniaga di Shopee

Bagi yang belum mempunyai akaun Shopee, di bawah ini saya kongsikan cara untuk mendaftar dan mula berniaga di Shopee.

Selamat mencuba!

Daftar akaun Shopee

Pergi ke laman rasmi Shopee di https://shopee.com.my/.

Pilih Daftar atau Sign Up di bahagian kanan sebelah atas laman tersebut.

Anda akan diminta untuk memasukkan nombor telefon bagi langkah pengesahan.

Pastikan anda memasukkan nombor telefon yang anda gunakan, untuk menerima sebarang SMS dari pihak Shopee.

Anda juga boleh memilih untuk mendaftar menggunakan akaun Facebook atau Gmail.

Seterusnya, anda akan diminta untuk masukkan butiran seperti kata nama (username), kata kunci (password) dan juga email.

Nota: Pilih kata nama yang sesuai dengan produk yang anda bakal jual.

Daftar sebagai penjual

Di halaman utama Shopee ini, klik pada Seller Centre yang terletak di bahagian kiri sebelah atas laman tersebut.

Lengkapkan pendaftaran dengan maklumat yang diperlukan.

Setelah itu, anda boleh mula menjual di Shopee!

Fungsi yang terdepat di Seller Centre Shopee

Buat yang pertama kali menjual di Shopee, anda mungkin perlukan sedikit masa untuk mempelajari dan memahami fungsi-fungsi di Shopee, lebih-lebih lagi fungsi di Seller Centre.

Di bawah saya akan terangkan serba ringkas mengenai fungsi yang terdapat di Seller Centre.

Shipment

Anda akan dapat lihat pelbagai fungsi di panel bahagian kiri laman.

Fungsi paling atas ialah Shipment, di mana anda boleh melihat status pesanan (order) yang diterima.

Anda juga boleh mengubah tetapan mengenai penghantaran atau kurier pilihan di bawah fungsi ini.

Order (Pesanan)

Di bawah fungsi Order, anda akan dapat melihat pesanan yang belum dibayar boleh pembeli (Unpaid), pesanan yang telah dibayar dan perlu diproses (To Ship), pesanan yang telah diproses dan sedang dalam penghantaran (Shipping).

Begitu juga dengan pesanan yang telah diterima oleh pembeli (Completed), urusniaga yang dibatalkan (Cancellation), dan juga pulangan balik pesanan dari pembeli (Return/Refund).

Product (Produk)

Di sini, anda boleh melihat maklumat dan status produk yang anda jual di Shopee – sama ada sudah dimuat naik (Live), produk yang sudah habis dijual (Sold out).

Selain itu, maklumat mengenai status produk yang dalam penilaian (Reviewing), produk yang melanggar peraturan dan polisi di Shopee (Violation), serta produk yang anda sembunyikan/tidak dipaparkan (Delisted) di laman Shopee anda akan dipaparkan di sini.

Anda juga boleh menambah produk dropship (sehingga 5000 item!) yang anda ingin jual di bahagian ini.

Cara nak tambah produk pun senang sahaja.

Klik Add a New Product.

Dan seterusnya anda kena isi semua maklumat yang diperlukan seperti Kategori Produk, Butiran Produk, Harga, Bilangan Stok.

Kemudian, masukkan gambar produk yang terang dan jelas.

Gambar dikira wajib, kalau tak macam mana pembeli nak tahu apa yang kita jual.

Gambar juga boleh tarik minat pembeli untuk masuk ke laman Shopee kita.

Kalau ada video, lagi bagus!

Kemudian isi berat barang untuk proses penghantaran.

Selepas itu anda boleh Save dan Publish. Selesai!

Nota: Jika produk yang anda masukkan masih under review, anda kena tunggu sahaja sampai pihak Shopee approve.

Kalau tak, mungkin ada sedikit masalah di listing produk itu, dan anda kena ubah sikit sebelum tambah semula produk tersebut.

Marketing Centre

Di bawah fungsi ini, anda dapat menetapkan promosi produk dropship anda, uruskan voucher, melihat trafik ke kedai Shopee anda, dan juga untuk urusan pengiklanan di Shopee.

Saya akan beri penjelasan yang serba ringkas di bawah.

Finance

Sebarang pendapatan atau hasil jualan dropship Shopee anda akan dipaparkan di sini.

Anda juga boleh muat turun penyata pendapatan dan juga inbois cukai jika perlu.

Di sini juga anda boleh melengkapkan maklumat bank anda untuk tujuan pemindahan wang jualan dari pihak Shopee kepada akaun anda.

Ini antara langkah penting bila anda set up akaun.

Jadi, jangan lupa ya!

Business Insight

Fungsi ini memberi gambaran menyeluruh mengenai akaun dan jualan anda, supaya anda boleh memahami prestasi kedai anda di Shopee, trend produk, dan membuat pengiklanan untuk produk tertentu.

Anda juga boleh mengakses status dan prestasi akaun anda di sini.

Akaun anda akan dinilai sebagai cemerlang (excellent), baik (good), perlukan penambahbaikan (need improvement), dan kurang memuaskan (poor).

Penilaian ini dikira melalui pencapaian target dan bilangan penalti yang dikenakan kepada anda (jika ada), sepanjang 12 minggu yang lepas.

Langkah buat dropship Shopee di Malaysia

Ramai yang sukakan platform Shopee kerana kelebihan-kelebihan di atas.

Sekarang anda dah tahu kenapa ramai yang memilih untuk buat dropship Shopee di Malaysia, kan?

Jadi sekarang, mari saya ajarkan langkah untuk memulakan bisnes dropship Shopee ini.

Sebelum itu, pastikan anda telah mendaftar akaun dengan Shopee.

Untuk tarik minat pembeli, set up kedai Shopee anda sebaik mungkin dengan logo, gambar dan butiran kedai yang sesuai.

Kredit Gambar

Cari produk yang banyak terjual

Sebelum itu, kenal pasti kategori produk yang anda nak jual di Shopee.

Barang perhiasan rumah? Penjagaan kulit dan diri? Barangan bayi? Baju dan tudung?

Kemudian, kenal pasti produk yang mendapat permintaan tinggi (in demand) dalam kalangan pembeli.

Nota: Cari produk yang lain dari yang lain atau tidak terlalu mainstream.

Produk yang unik dan tidak terlalu ramai yang menjual produk tersebut di Shopee.

Anda boleh lihat pada jualan produk tersebut setiap bulan.

Logiknya, produk sebegini mendapat permintaan yang tinggi.

Contohnya, beg di bawah telah terjual sebanyak 72 ribu unit!

Anda juga dinasihatkan untuk melihat komen dan rating dari pembeli.

Cari produk dengan rating tinggi – ia bermakna produk tersebut akan terus laku.

Lagipula, sebagai penjual, anda kena menjaga imej kedai anda dan produk dropship yang dijual.

Cara nak cari penjual dengan rating yang tinggi

Pilih penjual yang ada rating tinggi.

Ini bermakna penjual ini boleh dipercayai dan mereka memberi khidmat pelanggan yang memuaskan untuk pembeli-pembeli mereka.

Pilih penjual sebegini untuk jadi pembekal (supplier) anda.

Produk yang mereka jual juga kemungkinan besar berkualiti tinggi.

Contohnya, penjual di atas. Rating yang diterima adalah 4.9. Sangat tinggi!

Followers mereka juga menghampiri 700 ribu!

Kenapa anda kena cari penjual/supplier yang bagus?

Ini kerana, sebagai dropshipper, anda lah orang tengah antara pembekal (supplier) dan pembeli.

Anda akan bertanggungjawab untuk membalas segala pertanyaan dari pembeli.

Anda juga perlu menyelesaikan masalah yang timbul, contoh kelewatan penghantaran dan sebagainya.

Nota: Nak lagi mudah, anda boleh cari Penjual Pilihan ataupun ‘Preferred Seller’.

Preferred Seller ialah penjual yang telah dipilih oleh Shopee atas prestasi, jualan dan khidmat pelanggan yang cemerlang.

Mereka boleh dikenal pasti dengan label ‘Preferred’ di akaun atau produk mereka.

Cara nak set harga jualan produk dropship anda

Saya akan gunakan contoh produk di atas (tote bag).

Kalau anda lihat, harga beg tersebut ialah RM2.80 – RM3.50.

Sebagai dropship Shopee, anda kena tetapkan harga untuk beg tersebut yang anda rasakan sesuai.

Katalah anda ingin letak harga RM5.50 untuk satu unit.

Rasanya, ada tak pembeli yang berminat dengan harga tersebut?

Bagi saya, harga tersebut adalah berpatutan dan masih dalam kategori mampu milik.

Jadi, anda boleh tetapkan harga tersebut di kedai Shopee anda.

Kredit Gambar

Nota: Mula-mula buat dropship, jangan terlalu letak harga yang tinggi.

Cukup sekadar anda tidak rugi.

Fokus pertama anda adalah untuk dapatkan jualan.

Anda juga kena tarik kepercayaan pelanggan untuk membeli di kedai Shopee anda.

Hubungi penjual atau supplier untuk jadi dropship

Bila anda dah pilih produk yang anda ingin jual, hubungi penjual dan beritahu mereka anda ingin menjadi dropship mereka.

Kini, penjual ini akan jadi pembekal (supplier) anda.

Kebanyakkan penjual (supplier) akan menerima dropship tanpa sebarang bayaran.

Jangan risau, tanya je!

Selepas mereka setuju, anda boleh mula muat naik gambar produk, tetapkan harga, dan lengkapkan maklumat produk yang dijual di akaun anda.

Tugas anda sekarang adalah untuk mempromosikan barangan yang anda jual.

Apabila anda menerima pembelian produk dropship anda, buat pesanan pada penjual (supplier) dan tukarkan alamat penerima tersebut.

Kenapa saya minta anda hubungi penjual (supplier) sebelum mula menjual?

Bila penjual (supplier) tahu bahawa anda adalah dropship untuk produk mereka, maka mereka takkan meletakkan inbois dalam bungkusan dan penerima takkan mengetahui harga asal produk yang dibeli.

Nota: Untuk pengetahuan anda, supplier dan penjual di Shopee sentiasa mencari individu yang berminat untuk jadi dropship mereka. Jadi, jangan malu okay!

Tips dropship Shopee dapat jualan banyak

Tingkatkan kepercayaan pembeli dengan kedai Shopee anda

Salah satu cara untuk buat dropship Shopee, anda perlu mematuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh pihak Shopee.

Kesemua kriteria seperti bilangan produk, jumlah pengikut, rating dan chat performance akan dipantau oleh pihak Shopee.

Pembeli pula akan menilai kriteria di atas sebelum membeli di kedai anda.

Semakin tinggi rating yang anda terima, semakin tinggilah tahap kepercayaan pembeli kepada anda.

Nota: Untuk dropshipper baru, fokus kepada kriteria yang diperlukan, terutamanya Chat Performance.

Antara cara penting untuk meningkatkan penjualan di kedai Shopee anda adalah dengan memberi khidmat pelanggan yang sangat baik melalui Chat.

Kadar tindak balas Chat yang baik juga adalah salah satu kriteria untuk terpilih menjadi Penjual Pilihan Shopee (Shopee Preferred Seller)!

Macam mana cara nak maksimakan fungsi Marketing Centre

Tiga objektif seller menggunakan marketing tools di bawah Marketing Centre di Shopee:

1. Tingkatkan trafik ke kedai

2. Tingkatkan conversion

3. Tingkatan jualan produk

Kredit Gambar

Marketing percuma di Shopee

1. Promosi diskaun (Discount Promotions)

Dengan fungsi ini, anda boleh berikan potongan diskaun kepada pelanggan yang berminat dengan barang yang anda jual.

Anda boleh tentukan berapa diskaun yang nak diberi.

Ataupun, bila supplier buat promosi, anda boleh gunakan fungsi ini juga.

Kredit Gambar

Potongan harga sebegini dapat menarik perhatian bakal pembeli kepada produk yang anda jual, ataupun kedai Shopee anda.

2. Voucher

Siapa yang tak sukakan baucar (voucher)?

Saya pasti, semua pembeli sukakan voucher yang boleh ditebus semasa pembayaran nanti.

Kredit Gambar

Jadi, anda kena buat kupon voucher untuk pelanggan beli barang di kedai anda.

Tentunya ramai yang tertarik untuk membeli di kedai anda.

Nota: Untuk buat kupon voucher, pastikan ianya bersesuaian dengan harga produk anda.

Jangan terlalu tinggi hinggakan anda tidak mendapat sebarang untung.

3. Follow Prize

Konsepnya sama sahaja seperti voucher.

Bila anda set follow prize ini, jika pengunjung masuk ke akaun anda, popup sebegini akan muncul:

Kredit Gambar

Kalau pengunjung kedai Shopee anda mengikuti akaun anda, mereka akan dapat voucher yang boleh ditebus.

Jadi, jangan lupa untuk buat voucher supaya pengunjung akan ikuti akaun Shopee anda.

Ini pun langkah mudah untuk naikkan bilangan pengikut akaun anda!

4. Bundle deal

Dalam kata lain, bundle ni bila pelanggan beli sesuatu produk dalam jumlah yang tinggi.

(Ataupun kalau pelanggan beli lebih dari satu item).

Kredit Gambar

Melalui bundle deal, anda boleh berikan diskaun kepada pelanggan yang membuat pembelian yang banyak di kedai Shopee anda.

Jadi, anda akan dapat jualan yang lebih, pembeli pula akan dapat diskaun!

5. Add-on Deal

Secara ringkasnya, add-on adalah tambahan.

Saya lebih cadangkan anda buat add-on deals untuk produk yang berkaitan.

Contohnya, kalau anda menjual kertas A4, anda boleh buat add-on deal untuk produk seperti fail bersaiz A4.

Kredit Gambar

Dengan taktik ini, pelanggan akan jadi lebih tertarik untuk menambah produk yang ingin dibeli.

Anda pula akan dapat keuntungan yang lebih!

6. Shipping fee promotion

Selain diskaun, pembeli juga sangat sukakan penghantaran murah atau percuma.

Tahukah anda, seller pun boleh set promosi untuk penghantaran.

Tak perlu tunggu nak tebus voucher dari Shopee!

Kredit Gambar

Anda boleh set promosi ini untuk pelanggan anda sekiranya belian mereka menepati jumlah yang anda dah tetapkan.

Contohnya, untuk pembelian RM100 ke atas, pelanggan layak mendapat penghantaran percuma!

Jadi pembeli anda kena berbelanja melebihi RM100 untuk dapatkan penghataran percuma.

Anda pun untung lebih, mereka pun tak rugi sangat.

7. My Shop Shocking Sale

Konsepnya sama seperti Shocking Sale besar-besaran yang anda nampak di laman utaman Shopee.

Cumanya, fungsi ini adalah untuk jualan di KEDAI ANDA sahaja.

Kredit Gambar

Bila pelanggan buka akaun anda, mereka akan nampak tab Shocking Sale ini.

Tapi, fungsi ini hanyalah untuk barang sedia ada (ready stock) sahaja ok!

Jadi, anda kena pastikan dengan supplier anda, adakah barang yang dijual itu ready stock atau pre-order.

8. Tarik view dengan Shopee Ads

Sebagai peniaga (dropshipper/seller) baru, anda perlu menggunakan Shopee Ads untuk meningkatkan bilangan view dan pengunjung di kedai Shopee anda.

Ia juga boleh meningkatkan peratus kemungkinan produk anda akan dibeli.

Shopee Ads adalah iklan berbayar yang akan meletakkan produk yang anda jual di page pertama dalam carian Shopee.

Nota: Langkah ini memerlukan sedikit modal dari anda.

Jadi, anda perlu belajar beberapa teknik pengiklanan supaya duit anda tidak akan terbazir begitu sahaja.

Cabaran utama dropship Shopee

Cabaran paling ketara di Shopee ialah dari segi persaingan dan juga harga.

Dengan lambakan penjual di Shopee, persaingan sangat tinggi dan sengit.

Anda juga mungkin sedang bersaing dengan pemborong dari China.

Jadi tak hairanlah ramai yang mula jual barang dengan harga yang terlalu murah.

Tapi, saya harap anda tidak takut untuk mencuba.

Saya sarankan anda mula dengan dropship tanpa modal.

Anda juga boleh memaksikan penggunaan marketing tools percuma seperti yang saya ringkaskan di atas.

Sedia untuk buat dropship Shopee?

Saya harap penjelasan di atas dapat membantu anda memulakan langkah untuk menjadi dropship Shopee dan membantu anda meningkatkan jualan produk.

Jadi, jangan takut untuk mula jual produk orang lain.

Dan apabila sudah bermula, teruskan usaha ya!

Harapnya kita boleh menghadapi krisis ekonomi dengan lebih bersedia.

Ada sebarang pertanyaan?

Leave a Reply

Your email address will not be published.